Zaini (kiri) menyampaikan cek kepada Azlina (kanan) sambil diperhatikan Salmah (dua,kiri).
JOHOR BAHRU - "Arwah suami gemar menghiburkan ahli keluarga kerana dia sememangnya memiliki bakat melawak secara semula jadi," cerita Azlina Aziz, 40.
Azlina merupakan isteri kepada bekas peserta Raja Lawak 5, Nizam Solah, 42, yang meninggal dunia akibat tekanan darah tinggi pada 21 Januari lepas.
Menurutnya, sifat tersebut merupakan kenangan terindah dalam hidupnya serta anak-anak dan pastinya tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.
"Kami sentiasa merinduinya kerana arwah gemar menghiburkan ahli keluarga dan kami akui rumah sunyi tanpanya.
"Arwah suka membuat lawak secara semula jadi termasuk ketika berada di rumah dan kami tidak akan lupakan dan simpan sebagai kenangan terindah," katanya.
Berkongsi kisah pemergian Nizam, Azlina berkata, tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan arwah suaminya itu yang bekerja di gudang sebuah syarikat menjual kereta di bandar raya ini.
"Kali terakhir saya bertemu dengannya sebelum arwah keluar bekerja pada 20 Januari 2018. Seperti biasa, saya bersalam dengannya dan pada ketika itu wajahnya ceria seperti biasa.
"Bagaimanapun, saya amat terkejut apabila pada waktu tengahari menerima panggilan daripada rakan sekerjanya menyatakan arwah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima cek daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) termasuk faedah pengurusan mayat sejumlah RM2,000 dan sebahagian pencen penakat iaitu RM403 di kediamannya di Kangkar Pulai, di sini, hari ini.
Cek berkenaan disampaikan oleh Adun Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.
Hadir sama, Penolong Pengarah Perkeso negeri, Salmah Sabran.
Nizam atau Kecik menyertai Raja Lawak pada tahun 2011 melalui kumpula Pukaw bersama dua lagi ahli lain iaitu Indra Putra Setia Negara Thamrin (Indra), 30, dan Abd Hadzir Abdullah (Ai), 31.
Kumpulan tersebut tersingkir di minggu keenam selepas mendapat undian terendah iaitu 8 peratus.
Katanya, dia difahamkan, arwah suaminya mengalami muntah secara tiba-tiba ketika sedang makan di tempat kerja dan terus ke tandas sebelum rebah di situ.
"Arwah disahkan meninggal dunia kerana mengalami tekanan darah tinggi biarpun sebelumnya arwah tidak pernah dikesan menghidapi sebarang komplikasi kesihatan," katanya.
Selepas pemergian Nizam, Azlina yang bekerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat di Lembaga Pertubuhan Peladang kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara tiga anak mereka yang berusia lapan hingga 14 tahun.
"Kami bersyukur kerana hasil caruman arwah di Perkeso membolehkan kami menerima faedah penakat pencen.
"Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga dan akan digunakan untuk mengurus perbelanjaan persekolahan anak serta membayar pinjaman rumah," katanya.
Sementara itu, Salmah berkata, keluarga berkenaan bakal menerima pencen bulanan sejumlah RM1,137.
"Kami menerima maklumat berkaitan kematian arwah menerusi laman sosial dan berjaya mengesan waris keluarganya bagi membolehkan mereka menerima pencen penakat," katanya.
Dalam pada itu, Zaini berharap keluarga Azlina bertabah dengan dugaan dialami serta bijak menguruskan bantuan atau sebarang sumbangan diterima.
SUMBER -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment