“SAYA tidak mempunyai ikatan persaudaraan dengan dia, apatah lagi bukan peminat tegar beliau.
“Namun, berpegang kepada prinsip untuk membantu orang memerlukan, tindakan diambil ini adalah wajar demi membantu sesama manusia.” Demikian kata Syed Shukrinizam Jaafar, 43, yang sanggup mendermakan buah pinggangnya untuk pelawak, Ebby Yus.
Bagi Syed Shukrinizam yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, apa yang dilakukannya ialah berkongsi ‘harta’ milik Allah dan beranggapan boleh meneruskan kehidupan dengan hanya satu buah pinggang.
“Bukan kerana dia (Ebby) seorang artis maka saya mahu mencari publisiti murahan dengan mendermakan buah pinggang, tidak sama sekali...tetapi sebelum ini saya memang mempunyai hajat untuk menderma kepada orang lain yang memerlukan namun tidak berkesempatan berikutan ada antara mereka tidak membaca mesej peribadi saya di Facebook.
“Mengenai hajat menderma buah pinggang kepada Ebby, saya memang ada nyatakan di Facebook dan baru saja sebentar tadi pembantu peribadi Ebby menghantar mesej peribadi meminta nombor telefon saya,” katanya kepada Harian Metro.
Bapa anak tiga itu berkata, Ebby kemudian menghubunginya dan mengucapkan terima kasih serta terharu atas keputusan besar itu untuk menderma buah pinggang. “Namun, Ebby ada mengatakan penyakitnya kini masih di peringkat tiga dan belum tahap memerlukan dialisis.
“Belum dapat kepastian lagi daripada doktor mengatakan Ebby memerlukan pemindahan buah pinggang, namun saya bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Syed Shukrinizam yang sememangnya aktif dengan kerja kebajikan, MyKasih Care berkata, keluarganya juga terkejut dengan keputusan dibuat namun faham berikutan kerja kebajikan sudah sebati dengan dirinya.
“Sudah lima tahun saya berkecimpung dalam kebajikan membantu mereka memerlukan, jadi saya faham apabila mengunjungi mereka yang susah dan sakit. “Keluarga saya memang terkejut, namun sebaik diterangkan mereka faham dan sokong setiap keputusan dibuat,” katanya.
Menurutnya, secara peribadi dia hanya mengenali Ebby Yus sebagai seorang pelawak dan tidak lebih daripada itu.
“Saya tidak mempunyai ikatan persaudaraan dengan dia, apatah lagi bukan peminat tegar beliau.
“Namun, berpegang kepada prinsip untuk membantu orang memerlukan, tindakan diambil ini adalah wajar demi membantu sesama manusia,” katanya.
Katanya, mereka berdua akan berjumpa sebaik Ebby pulang menunaikan umrah dijangka pertengahan bulan depan.
“Doakan semoga semua urusan kami dipermudahkan dan Ebby diberi kesembuhan segera,” katanya.
Sumber: suraya roslan,HarianMetro
No comments:
Post a Comment