PERKARA ini mungkin terdengar seperti filem fiksyen Hollywood, tetapi kajian menunjukkan bahawa medan magnetik kutub utara bumi semakin menunjukkan peralihan kedudukan yang pantas.
Magnetik kutub utara adalah titik kompas utara dan penting untuk semua jenis teknologi tunjuk arah atau navigasi.
Perkembangan yang dilapor oleh banyak media antarabangsa itu menunjukkan bacaan kedudukan kutub magnetik utara yang sentiasa bergerak, menyebabkan peta Model Magnetik Dunia (WMM) terpaksa dikemas kini hampir setiap lima tahun.
Kedudukan tersebut berganjak ke arah utara dengan purata jarak kira-kira 30 batu setahun.
Peralihan yang begitu banyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera mengemas kini bacaan WMM-nya bagi memantau Medan Magnet Bumi.
Titik berkenaan juga jika tidak sama dengan geografi utara akan memberikan bacaan kritikal kepada kompas, kapal terbang dan kapal navigasi.
"Ia bergerak kira-kira 50 kilometer setahun.
“Ia tidak bergerak banyak antara tahun 1900 dan 1980, tetapi pergerakannya mula dilihat pantas dalam tempoh 40 tahun yang lalu," kata Ciaran Beggan, seorang saintis dari British Geological Survey di Edinburgh, Scotland, kepada Reuters.
Memantau magnetik kutub utara bumi adalah penting bagi tentera Eropah dan Amerika kerana sistem navigasi mereka bergantung kepada Model Magnetik Dunia, yang berpandukan medan magnet Bumi.
Syarikat penerbangan komersil, Peta Google dan aplikasi GPS pintar juga bergantung kepada model yang sama bagi membantu juruterbang dan pengguna menentukan lokasi mereka dan mengemudi dengan sewajarnya.
Setiap lima tahun, Suruhanjaya Geologi British dan Pentadbiran Oseanik & Atmosfera (NOAA) mengemas kini Model Magnetik Dunia bagi memastikan bahawa sistem GPS dan kompas terus menggunakan rujukan yang betul.
Kemas kini seterusnya dijadualkan pada tahun 2020, tetapi titik magnet utara dilihat bergerak pantas menyeberangi International Date Line.
Para saintis tidak pasti apa yang mendorong pergerakan pantas itu, tetapi peralihan itu cukup penting bagi tentera Amerika untuk meminta kajian awal dilakukan.
Model Magnetik Dunia juga dilaporkan telah dikemas kini awal iaitu pada 4 Februari lalu.
Magnetik kutub utara bumi dan titik paling utara paksi planet kita tidak berada di tempat yang sama. Pada tahun 1904, magnetik kutub utara bumi berada di timur laut Kanada, tetapi ia telah bergerak ke arah Siberia selepas itu.
No comments:
Post a Comment