Gambar sekadar hiasan
LELAKI warga Switzerland ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah di Kampung Tenglu Laut, dekat Mersing, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, lelaki berusia 59 tahun yang tidak diketahui pekerjaannya ditemui sudah meninggal dunia oleh polis.
“Seorang lelaki berusia 40-an datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memberitahu seorang penyewa rumahnya iaitu lelaki warga Switzerland tidak membuka pintu selepas dipanggil berulang kali.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Mersing bergegas ke lokasi.
“Selepas memecah pintu yang diselak dari dalam kami menemui satu mayat lelaki di dalam rumah dengan leher tergantung pada tali yang diikat pada alang pintu antara ruang bilik tidur dan dapur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Cyril Edward berkata, barang peribadi lelaki itu termasuk dompet, wang dan telefon bimbit masih ada di tempat kejadian.
Katanya, menurut seorang saksi, lelaki terbabit menyewa di rumah itu sejak kira-kira tiga bulan lalu dan kali terakhir dilihat orang ramai pada petang semalam.
“Mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.
“Punca kematian belum diketahui kerana polis masih menjalankan siasatan,” katanya.
Sumber:harianmetro
No comments:
Post a Comment