Menyamar polis, samun telefon RM370 - Olaah News
Responsive Ads Here
Menyamar polis, samun telefon RM370

Menyamar polis, samun telefon RM370

Share This


TIGA lelaki berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam selepas menyamar sebagai polis dan menyamun seorang penuntut warganegara Bangladesh di Jalan Pendidikan 1, Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, mereka berusia 17 hingga 23 tahun ditahan di sekitar Taman Universiti, awal pagi semalam, sejurus laporan dibuat mangsa.

Katanya, pasukan turut merampas telefon bimbit milik mangsa berharga RM370 yang diletak di rumah suspek di Taman Sri Pulai Utama, selain kunci dan sebuah Perodua Kancil.

“Dalam kejadian 1.30 pagi itu, penuntut universiti di Johor Bahru mendakwa didatangi suspek ketika sedang berjalan untuk pulang ke rumahnya.

“Empat suspek didakwa menaiki kereta dan salah seorang daripadanya memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek juga meminta mangsa menunjukkan dokumen diri sebelum mengacukan pisau.

“Dia merampas barangan berharga milik mangsa bernilai hampir RM400 termasuk telefon bimbitnya berharga RM370. Susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Universiti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Taib berkata, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga suspek di dua lokasi berasingan di Taman Universiti dan Taman Sri Pulai Utama, kira-kira enam jam selepas menerima laporan.

Katanya, hasil ujian saringan mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Dalam soal siasat, mereka mengaku melakukan samun bersama seorang rakan masih bebas dan kita sudah mengenal pasti lelaki itu serta giat memburunya,” katanya yang memberitahu kes berjaya diselesaikan segera berikutan kecekapan pegawai dan anggotanya mengesan kenderaan digunakan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

No comments:

Post a Comment

Responsive Ads Here