GELANG PATAH, 29 Okt. – Dakwaan pembangkang bahawa pemansuhan bayaran tol di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL), Johor hanya menguntungkan penduduk Singapura adalah tidak benar, sebaliknya memanfaatkan rakyat negara ini.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata ini kerana ramai rakyat negara ini memasuki Singapura pada setiap hari berbanding rakyat Singapura ke Malaysia.
Katanya, sebanyak 40,000 kenderaan memasuki Singapura dalam sehari dan pengguna terpaksa membayar tol sebanyak RM16.50 dan ia adalah satu jumlah yang besar.
“Jadi, bila dihapus, yang mendapat manfaat ramai juga rakyat Malaysia, maka adalah tidak benar ia menguntungkan rakyat Singapura. Kereta Singapura masih kena caj jalan dan tol PLUS (Lebuh Raya Utara-Selatan).
“Jadi, mengenai tol EDL, kita ucap terima kasih kepada Kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Notis 5A dan Majlis Perasmian Bootcam eRezeki dan eUsahawan di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Mohammad Khairi A Malik.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Dzulkefly Ahmad hari ini dilaporkan berkata, pemansuhan bayaran tol EDL tidak menepati kehendak sebenar rakyat negeri ini yang dibentangkan dalam Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu.
Mengenai kenapa tol lain tidak dimansuhkan, Mohamed Khaled berkata, kerajaan perlu mengimbangi bajet dan tidak seperti manifesto pembangkang yang mahu memansuhkan semua bayaran tol.
“Jika kita buat begitu, sudah tentu ada masalah siapa mahu buat kerja penyelenggaraan. Katakan penyelenggaraan semua adalah percuma dan kita peruntukkan benda lain kepada penyelenggaraan, maka sudah tentu duit tidak cukup,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana membentang Bajet 2018 yang inklusif dan komprehensif yang menekankan kepada aspek kritikal serta pertumbuhan dan masa depan negara.
“Walaupun Johor tidak disebut secara spesifik dalam bajet ini, namun kita lihat kesemua inisiatif dalam bajet sebenarnya memberi manfaat kepada Johor sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Johor adalah negeri ketiga terbesar dari segi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan negeri kedua terbesar FELDA serta apa yang Kerajaan Pusat nyatakan dalam bajet akan menyumbang kepada Johor,” katanya.
Beliau berkata, ini termasuklah galakan dan insentif untuk sektor berimpak tinggi seperti minyak dan gas serta pelancongan di negeri ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled membidas pembangkang bahawa Bajet 2018 yang dibentangkan adalah sebagai ‘gula’-gula’ dan mahu mereka memberitahu rakyat supaya tidak menerimanya jika berkata demikian.
“Kedua, jika pembangkang kata ‘gula-gula’, persoalannya adakah kumpulan yang Kerajaan Pusat kenalpasti sebagai golongan sasaran seperti usahawan, nelayan, peserta FELDA tidak wajar terima bantuan?.
“Pendekatan bajet kali ini sebenarnya banyak keberdayaan dan membangunkan masyarakat,” katanya sambil menambah Johor akan menyambut bajet Kerajaan Pusat serta melaksanakannya, selain akan dimanfaatkan oleh masyarakat.
Sumber -Lum Chee Hong "JAUHAR"
Sumber -Lum Chee Hong "JAUHAR"