KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga kertas siasatan berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagi kes pertama membabitkan kata-kata dan infografik yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri oleh pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai.
"Sejumlah 478 laporan polis diterima berhubung kes ini setakat hari ini dan suspek berusia 68 tahun telah ditahan pada 19 Februari sebelun direman tiga hari sehingga kelmarin.
"Atas faktor umur dan komplikasi kesihatan, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis. Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, bagi kes kedua melibatkan pemilik Facebook, Sarkar Tanesan yang menulis kata hinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dengan perkataan yang jelik.
Katanya, sebanyak 11 laporan diterima setakat hari ini. Suspek berusia 21 tahun juga telah ditahan Khamis lalu dan direman sehingga esok untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, berkait komen jelik oleh pemilik akaun Facebook, Sally Yen terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, Mohamad Fuzi berkata, posting itu dibuat pemilik akaun pada 2013 dan sebanyak 16 laporan diterima.
"Kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak pendakwa raya kerana pemilik akaun tidak dapat dikenal pasti setelah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk pengesahan.
"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti pemilik akaun tersebut dan pihak yang menularkan posting terbabit," katanya.
Tegasnya, ketiga-tiga kes ini disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat, menyebar atau berkongsi sebarang kenyataan jelik yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini.
No comments:
Post a Comment