PENGGUNAAN 38 kios tiket secara bersepadu di Larkin Sentral, Johor Bahru dilihat berjaya menangani isu ulat tiket yang menjual tiket mahal atau palsu, terutama ketika musim perayaan.
Operator pengeluaran, Kim Yam Cheong, 23, berkata, dia tidak berdepan masalah mendapatkan tiket pada saat akhir untuk pulang ke rumah keluarga di Kuala Lumpur kerana kios tiket yang lebih meyakinkan.
Katanya, penggunaan sistem itu sejak empat tahun lalu memudahkan pengguna sepertinya malah keadaan terminal juga tidak sesak berbanding dulu, apabila dipenuhi ulat tiket yang berkeliaran mencari mangsa.
“Saya berasakan sistem digunakan ini amat baik dan orang ramai tidak lagi terpedaya dengan harga tiket mahal kerana boleh membeli tiket di mesin dan kios yang disediakan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Yakop Haron berkata, pada musim perayaan, jumlah individu yang membeli tiket bertambah daripada 6,500 sehari kepada 13,000 sehari.
Katanya, sejak pengurusan menggunakan 38 kios dan kaunter sistem tiket bersepadu, ia menyelesaikan masalah ulat tiket kerana hanya penumpang boleh membeli tiket di tempat disediakan.
“Sempena perayaan Tahun Baru Cina bermula semalam dan hari ini, seramai 26,000 orang menggunakan terminal bas, malah bagi mengelak kesesakan, kami buka semua 38 kaunter sistem tiket bersepadu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kami berharap pengguna mengikut setiap arahan diberikan,” katanya.
Tinjauan Harian Metro di terminal itu mendapati masih ada segelintir ulat tiket berkeliaran namun, lebih menyasarkan mangsa dalam kalangan warga asing, berikutan pengguna tempatan yang membeli tiket di kios tersedia.
Sumber: HarianMetro
No comments:
Post a Comment