SULTAN IBRAHIM MURKA TINDAKAN SEORANG MENTERI MEMBERI CERAMAH DALAM MASJID - Olaah News
Responsive Ads Here
SULTAN IBRAHIM MURKA TINDAKAN SEORANG MENTERI MEMBERI CERAMAH DALAM MASJID

SULTAN IBRAHIM MURKA TINDAKAN SEORANG MENTERI MEMBERI CERAMAH DALAM MASJID

Share This




DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Menteri yang dikatakan memberi ceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam. 

Baginda bertitah mengingatkan bahawa telah menjadi peraturan bagi semua masjid di dalam negeri Johor iaitu tidak ada sesiapa dibenarkan berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya, kecuali yang telah mendapat tauliah dan kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, DYMM Tuanku Sultan bertitah bahawa pemimpin politik itu yang juga seorang Ahli Parlimen supaya dengan segera mengadap Baginda serta memohon maaf secara bersurat serta tidak mengulangi lagi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (16 Februari).

Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan turut berkenan menerima mengadap Penasihat MAINJ, Dato' Haji Noh Gadot dan Mufti Johor, Dato' Yahya Ahmad. 

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang pemimpin politik berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Baginda juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid sentiasa mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.”

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah Baginda Tuanku Sultan.



No comments:

Post a Comment

Responsive Ads Here